Muslim Pro - Panduan Pengguna

Online Support for the Muslim Pro mobile app

Kenyataan Rasmi Muslim Pro

17 Disember 2020, 10:45AM

Assalamualaikum, komuniti Muslim Pro.

Hampir sebulan telah berlalu sejak artikel berita mengenai bagaimana vendor pihak ketiga mengendalikan data kami yang telah menimbulkan kebimbangan. 

Aplikasi Muslim Pro masih tetap tersedia untuk dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.

Ini adalah kali pertama di mana kami menghadapi isu yang amat serius dan kami telah mengambil tindakan kerana kami sangat mengambil berat tentang anda, pengguna kami yang membentuk komuniti Muslim Pro.

Sekiranya ini kali pertama anda membaca kenyataan umum kami yang telah dikeluarkan dengan segera pada 17 Nov 2020 ketika artikel berita pertama muncul, berikut adalah perkara-perkara utama:

  • Muslim Pro tidak pernah memberikan data anda kepada tentera AS. Kami tidak pernah melakukannya, dan tidak akan pernah melakukannya. Untuk memastikan bahawa data peribadi anda tetap selamat bersama kami, kami juga telah menamatkan semua usahasama dengan rakan data kami untuk mengelakkan sebarang isu lain.
  • Muslim Pro tidak pernah memberikan data ‘non-anonymous’ (mempunyai nama)  kepada pihak ketiga. Ini bermaksud bahawa tiada bekas vendor data kami yang pernah menerima maklumat peribadi seperti nama atau alamat e-mel.

Sebelum kami memperincikan langkah-langkah yang telah diambil, kami ingin berkongsi dengan anda sedikit sebanyak mengenai kami.

Muslim Pro terdiri daripada orang-orang seperti anda. Kami memulakan Muslim Pro kerana ramai di syarikat kami berasa kecewa apabila tidak dapat mencari waktu berbuka puasa dengan mudah. Kami biasa bergantung pada jadual waktu yang dicetak atau pada keluarga dan rakan untuk mengingatkan kami. Perkara itu memberikan kami idea untuk membina aplikasi yang bukan hanya menyediakan waktu berbuka puasa pada bulan Ramadhan tetapi juga waktu solat sepanjang tahun.

Kami bermula dengan pasukan yang kecil dan masih sedemikian, dan ia merupakan berkat yang tidak disangka apabila aplikasi kami diterima dengan baik. Kami melihat lonjakan penggunaan aplikasi yang besar dalam tempoh pandemik Covid-19, jadi kami mengetahui bahawa ia membantu umat Islam mengamalkan kepercayaan mereka. Kami amat menikmati cabaran bagi berkhidmat untuk jutaan pengguna setiap hari dan memastikan aplikasi kami berjalan dengan lancar pada peranti kelas bawah dengan keadaan rangkaian yang mencabar, seperti pada peranti kelas atas. Kami sentiasa bersemangat untuk mencari cara-cara untuk menjadikan aplikasi kami lebih baik. Kami dapat membantu berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia. Dengan Muslim Pro, anda dapat membaca dan mendengar Al-Quran, mendapatkan waktu solat yang tepat, mendapatkan arah kiblat yang betul dan meningkatkan ibadah harian. Terima kasih kepada anda, pengguna kami, kami telah dapat membina komuniti yang hebat. Kami yakin dan percaya dengan apa yang kami lakukan.

Walau bagaimanapun, kami juga sedar bahawa tanggung jawab kami makin bertambah, selaras dengan peningkatan jumlah pengguna kami. Kami tahu bahawa, sama seperti kami, orang yang menggunakan teknologi kami ingin merasa selamat dan mereka ingin mengetahui apa yang berlaku pada data mereka. Kami tidak mahu sama sekali pengguna kami untuk berasa takut tentang penggunaan maklumat mereka oleh mana-mana pihak dan untuk sebarang tujuan yang tidak dikehendaki.

Oleh itu, kami terus memberi tumpuan untuk memperoleh kepercayaan anda setiap hari, dan kami komited untuk melakukannya dengan betul. Berikut perkara-perkara yang sedang kami lakukan:

  • Sebahagian daripada siasatan dalaman yang sedang kami jalankan, kami bekerjasama dengan penggodam beretika bebas dan penyelidik untuk mengesahkan bahawa kami telah memadamkan perisian pihak ketiga yang membolehkannya mengumpul maklumat tertentu dalam aplikasi kami dan kami tidak lagi menghantar sebarang data kepada bekas rakan data kami. Kami berharap ini dapat memberi ketenangan kepada pengguna kami dan menunjukkan bahawa kami memandang serius terhadap perkara ini.
  • Kami bersikap terbuka dan telus dengan semua pihak berkuasa privasi data yang relevan di Singapura, Malaysia dan Indonesia yang mempunyai sebarang pertanyaan. Di Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menghubungi DPO (Pegawai Perlindungan Data Peribadi) kami melalui e-mel pada 17 November 2020 sebaik sahaja jabatan itu diberitahu mengenai artikel berita tersebut. Setelah penjelasan kami, jabatan tersebut mengeluarkan kenyataan media bahawa pihak mereka telah menerima penjelasan kami. Kami juga telah memberikan penjelasan terperinci kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Singapura dan Direktorat Pengendalian Aplikasi Informatika Indonesia (KOMINFO).
  • Kami terus memelihara data kami dengan sepenuhnya dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang relevan serta menerapkan polisi tata kelola data yang ketat untuk memastikan data pengguna kami selalu dilindungi. Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak ketiga dalam industri termasuk media sosial (Facebook), analitik (Google) dan rakan pengiklanan yang secara amnya membantu meningkatkan produk dan perkhidmatan kami dan ini semua dilakukan dengan persetujuan pengguna kami.

Kami yakin bahawa maklumat terkini ini memberi jaminan bahawa kami mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menjadikan aplikasi kami selamat untuk anda. Teruskan melayari halaman ini untuk mengikuti perkembangan kami.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.”

-Surah Ar-Rum: Ayat 60

 

20 November 2020, 5:28PM

Assalamualaikum, komuniti Muslim Pro. Sejak beberapa hari ini dalam menghadapi tuduhan yang tidak berasas, Muslim Pro telah mengalami penyelewengan fakta dan kebenaran secara  terang-terangan yang telah menimbulkan pelbagai emosi di kalangan komuniti pengguna kami. Muslim Pro kini bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak yang relevan untuk membuktikan fakta-fakta sekitar tuduhan ini yang secara terang-terangan memberi pandangan  yang negatif dan yang tidak sewajarnya kepada kami dan komuniti kami. Seiring dengan komitmen untuk mengekalkan tahap integriti yang tinggi, Muslim Pro sentiasa mematuhi prinsip ini dan yakin bahawa perkara ini akan dapat dilihat oleh semua orang dengan segera - memandangkan:

  1. Kami tidak pernah memberikan data ‘non-anonymous’ (mempunyai nama) kepada mana-mana pihak ketiga; dan
  2. X- Mode Social, Inc. mengesahkan dengan kami pada 17 November 2020 bahawa X- Mode Social, Inc. telah berhenti bekerjasama dengan kedua-dua Sierra Nevada Corporation dan Systems & Technology Research (iaitu syarikat-syarikat dalam laporan media yang digambarkan sebagai kontraktor Tentera AS), lama sebelum Muslim Pro mendaftarkan X- Mode Social, Inc. sebagai rakan kongsi data.

Bagi menjawab semua keraguan dan menentukan punca isu ini, Muslim Pro pada hari ini mengumumkan pelancaran siasatan undang-undang secara rasmi dan menyeluruh ke atas pihak-pihak yang terlibat, dengan sokongan peguam kami, untuk mendapatkan jawapan yang tepat kepada segala persoalan Muslim Pro dan pengguna kami. Kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya kami dapat mengetahui bahawa kepercayaan kami dan pengguna kami telah disalah gunakan. Kami yakin bahawa kebenaran akan terbukti selaras dengan tindakan undang-undang yang dijalankan dan akhirnya, keadaan akan dapat diperbetulkan.

Kami memohon maaf kepada jutaan pengguna kami atas segala kesulitan yang timbul berikutan isu ini. Kami bertekad untuk memastikan semua langkah perlindungan diambil agar pengguna kami terus mendapat manfaat dari perkhidmatan Muslim Pro yang berkualiti tinggi dan terjamin. Muslim Pro telah dibangunkan untuk membantu jutaan umat Islam di seluruh dunia mengamalkan kepercayaan mereka dan telah berkhidmat dengan bersungguh-sungguh selama 10 tahun yang lalu. Oleh itu, Muslim Pro telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian umat Islam di setiap pelosok dunia. Ini memberi banyak makna kepada kami, dan kami akan terus berada di sisi pengguna - seperti biasa. Satu-satunya misi dan fokus kami adalah untuk terus memberikan perkhidmatan yang membantu umat Islam sedunia mengamalkan kepercayaan mereka dengan selamat.

“Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.”

- Al-Baqarah: Ayat 225

 

19 November 2020, 4:37PM

1. Data apa yang dikumpulkan oleh Muslim Pro dan mengapa anda memerlukannya?

Kami mengumpul, memproses, dan menggunakan maklumat yang diberikan atau disediakan oleh pengguna kepada kami ketika mengakses aplikasi dan perkhidmatan kami seperti maklumat yang anda masukkan serta maklumat yang berkaitan dengan penggunaan aplikasi. Kami menggunakan maklumat yang diberikan untuk meningkatkan perkhidmatan kami dan untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan aplikasi yang selanjutnya.

Ini mungkin termasuk menganalisis data untuk lebih memahami tingkah laku pengguna dan seterusnya meningkatkan keseluruhan perkhidmatan kami. Data lokasi digunakan untuk pengiraan waktu solat, kiblat dan ciri lain. Ini juga membantu dalam merancang dan membangunkan ciri-ciri aplikasi, serta meningkatkan keseluruhan pengalaman pengguna.

Kami komited untuk menghormati dan melindungi privasi pengguna kami dengan mematuhi undang-undang dan peraturan privasi data global seperti GDPR dan CCPA. Kami sentiasa mengambil langkah-langkah perlindungan standard industri untuk memastikan semua data dikendalikan dengan selamat kerana kepercayaan jutaan saudara dan saudari Ummah yang diberikan kepada Muslim Pro setiap hari sangat bermakna buat kami.

Untuk maklumat lebih lanjut, rujuk Dasar Privasi penuh kami di sini.

 

2. Mengapa anda perlu berkongsi data dengan rakan kongsi?

Membangunkan satu aplikasi keagamaan yang berkualiti memerlukan masa dan sumber yang sama seperti aplikasi lain. Kami perlu bekerjasama dengan rakan teknologi terpilih sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menawarkan tahap perkhidmatan yang tinggi untuk pengguna kami dan untuk meningkatkan kualiti aplikasi kami.

Untuk aplikasi seperti Muslim Pro, data dikongsi dengan rakan kongsi untuk tujuan umum seperti pengiklanan, yang merupakan sumber pendapatan utama bagi kami untuk memastikan sebahagian besar ciri aplikasi boleh ditawarkan secara percuma kepada pengguna kami. Dalam melaksanakan perkara tersebut, kami mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang relevan serta menerapkan tadbir urus data yang ketat untuk memastikan bahawa data pengguna kami sentiasa dilindungi.

 

3. Adakah anda berkongsi data peribadi dengan rakan kongsi?

Dalam apa jua keadaan sekalipun, kami tidak akan berkongsi sebarang maklumat peribadi pengguna kami yang sensitif seperti nama, nombor telefon atau e-mel. Sebarang data yang dikongsi dengan rakan kongsi adalah ‘anonymised’ (tanpa nama), yang bermaksud bahawa data kami tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana individu tertentu.

 

4. Siapakah pihak-pihak ketiga yang berkongsi data dari anda?

Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak ketiga dalam industri termasuk media sosial, analisis data dan rakan pengiklanan yang secara amnya membantu meningkatkan produk dan perkhidmatan kami - semuanya dilakukan dengan persetujuan pengguna kami.

 

5. Adakah data saya selamat dengan Muslim Pro?

Ya. Kami berkomitmen penuh untuk menghormati dan melindungi privasi pengguna kami selaras dengan undang-undang dan peraturan privasi data global seperti GDPR dan CCPA.

Kami sentiasa mengambil langkah-langkah perlindungan standard industri untuk memastikan semua data dikendalikan dengan selamat kerana kepercayaan jutaan saudara dan saudari Ummah yang diberikan kepada Muslim Pro setiap hari sangat bermakna buat kami.

Kami akan terus memastikan keselamatan data melalui audit oleh pakar pihak ketiga yang bebas.

 

17 November 2020, 11:00PM

Laporan-laporan media telah menyebarkan bahawa Muslim Pro menjual data peribadi penggunanya kepada Tentera AS. Perkara ini TIDAK TEPAT dan TIDAK BENAR sama sekali.

Muslim Pro komited untuk melindungi privasi pengguna kami. Kami amat memandang serius terhadap perkara ini.

Kami menerapkan pengaturan keselamatan dan langkah perlindungan standard industri dan memilih rakan teknologi terkemuka untuk memastikan data kami selamat serta terjamin di infrastruktur awan kami. Kami juga bersikap terbuka dan telus mengenai maklumat peribadi yang kami kumpul, simpan dan proses kerana kepercayaan jutaan saudara saudari Ummah kepada Muslim Pro setiap hari amat bermakna bagi kami.

Tambahan lagi, selain daripada bahagian Komuniti kami, setiap ciri aplikasi Muslim Pro tersedia untuk digunakan tanpa mendaftar atau log masuk. Perkara ini menyumbang kepada anonimitas data yang kami kumpul dan proseskan.

Dalam usaha kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna dan membantu perniagaan meningkatkan penawaran produk dan perkhidmatan mereka, kami berkongsi data tanpa nama dengan rakan teknologi terpilih yang mematuhi undang-undang dan peraturan global mengenai perlindungan privasi data. Oleh kerana kami menyedari situasi terkini, kami telah melancarkan penyiasatan dalaman dan mengkaji tadbir urus data kami untuk memastikan bahawa semua data pengguna dikendalikan selaras dengan semua persyaratan yang ada.

Walau bagaimanapun, kami telah membuat keputusan untuk menamatkan hubungan dengan semua rakan data kami termasuk X-Mode, dengan serta merta.

Kami sentiasa komited untuk membantu masyarakat Islam mengamalkan kepercayaan mereka. Aplikasi mudah alih Islam komprehensif kami, telah menjangkau hampir 100 juta pengguna di lebih daripada 216 negara di seluruh dunia. Kami memohon maaf kepada semua pengguna atas kemusykilan dan kesulitan yang terbangkit oleh laporan-laporan yang tersebar serta mengesahkan bahawa data anda selamat dan terjamin dengan kami.

Kami sangat menitik beratkan kepentingan amalan kepercayaan seseorang dan juga privasi pengguna.  Kami akan berusaha sedaya upaya dan sebaik mungkin bagi memastikan kami menunaikan janji ini.

- Dari Pasukan Muslim Pro

Press_White_MS.jpg

Ada soalan lagi? Serah permintaan

Still need help?

Ask the Community
Kuasa daripada Zendesk